Home Koronavirus MEDAC wujud jawatankuasa khas bantu usahawan terkesan Covid-19

MEDAC wujud jawatankuasa khas bantu usahawan terkesan Covid-19

0
MEDAC wujud jawatankuasa khas bantu usahawan terkesan Covid-19

TANJONG KARANG – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi membantu usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, jawatankuasa khas itu diketuai Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) MEDAC, Datuk Suriani Ahmad bagi menyelaraskan skim sedia ada agar lebih tersusun dan sampai kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, semua agensi di bawah kementerian itu perlu diselaras bagi membantu usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dasar kerajaan adalah untuk membantu usahawan dan kita ada beberapa agensi untuk membantu serta menyelaras usahawan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada sebuah keluarga di Kampung Gulang-Gulang, di sini pada Jumaat.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, jawatankuasa khas itu ditubuhkan sebaik beliau mendengar taklimat daripada agensi dan jabatan di bawah kementeriannya.

Jelas beliau, MEDAC akan memberi tumpuan kepada lima golongan terjejas akibat Covid-19.

“Saya lihat jabatan di bawah kementerian ada perancangan untuk membantu usahawan.

“Sasaran saya 100 hari ini, saya akan memberi tumpuan kepada beberapa kumpulan untuk membantu mereka yang terjejas akibat pandemik,” katanya.

Noh berkata, lima golongan yang dibantu itu terdiri daripada mereka yang ingin memulakan perniagaan, golongan diberhenti kerja dan mahasiswa yang tiada pekerjaan tetapi ingin menjadi usahawan.

“Dua lagi golongan yang dibantu ialah asnaf berniaga dan usahawan yang menggunakan modal sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here