KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mengkaji keperluan mewajibkan pemohon pinjaman mendapatkan suntikan lengkap vaksin Covid-19 sebagai syarat pinjaman.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini tiada syarat dikenakan kepada peminjam di bawah MEDAC untuk melengkapkan dos suntikan.
“Perkara ini dibincang dahulu, tetapi setakat ini kita belum kenakan sebarang syarat (kepada peminjam di bawah MEDAC).
“Tetapi kita melihat adakah ia serius. Kalau (ramai usahawan tidak lengkap vaksin Covid-19) ada kemungkinan (mewajibkan) syarat terbabit,” katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kuala Selangor di sini pada Selasa.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, setiap peniaga sewajarnya melindungi pelanggan yang datang ke premis mereka daripada risiko jangkitan Covid-19.
“Sudah pasti pelanggan yang datang berharap keselamatan dan kesihatan mereka dilindungi oleh peniaga. Sepatutnya peniaga dan pekerja mereka sudah lengkap dos vaksin Covid-19,” ujarnya.
Mengulas mengenai jumlah peniaga di bawah MEDAC yang sudah divaksin, Noh berkata, tiada statistik diperoleh setakat ini.
“Apa yang boleh saya katakan, golongan peniaga tidak lengkap vaksin menyusahkan diri mereka dan orang lain. Mereka sudah pasti sukar untuk masuk ke premis yang mensyaratkan dua lengkap seperti di pasar atau pasar raya,” katanya.