Home Koronavirus 80 peratus pelajar Tanjong Karang terima dos pertama vaksin Covid-19

80 peratus pelajar Tanjong Karang terima dos pertama vaksin Covid-19

0
80 peratus pelajar Tanjong Karang terima dos pertama vaksin Covid-19

KUALA SELANGOR – Seramai 8,988 atau 80 peratus pelajar berumur antara 12 hingga 17 tahun di Parlimen Tanjong Karang sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19, setakat Isnin.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah itu, seramai 6,651 pelajar sekolah menengah dan 2,337 pelajar sekolah rendah sudah menerima suntikan sejak lapan hari lalu.

Menurut beliau, pemberian vaksin yang mampu memuatkan sebanyak 1,000 kapasiti sehari di Parlimen itu dilaksanakan di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor.

“PPV SMKA Kuala Selangor ini antara tiga PPV dibuka selain PPV Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa dan sebuah sekolah swasta di Bandar Seri Coalfields,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke PPV SMKA Kuala Selangor pada Selasa.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pada masa ini terdapat sebanyak 32 sekolah rendah dan menengah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil di Parlimen berkenaan.

“Alhamdulillah, setakat ini saya belum terima laporan ada antara pelajar di Parlimen ini antivaksin, sebaliknya jumlah mereka yang sudah divaksin cukup membanggakan.

“Secara keseluruhan, program pemberian vaksin membabitkan pelajar sekolah berjalan lancar dan mendapat sambutan baik daripada ibu bapa,” katanya.

Ditanya kemungkinan PPV di SMKA Kuala Selangor akan diteruskan bagi pemberian vaksin dos kedua berikutan sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula pada 1 November depan, Noh berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

“Saya difahamkan sekolah ini akan dibuka sehari sebelum suntikan dos kedua pada 2 November depan.

“Sekolah ini merupakan asrama penuh dan sudah tentu pelajar akan mengikuti pembelajaran bersemuka.

Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sama ada meneruskan di sini atau berpindah ke PPV lain seperti di Institut Pengurusan Peladang (ILP) Tanjong Karang yang sebelum ini menjadi PPV awam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here