Home Koronavirus Masalah kesihatan antara faktor guru tak mahu vaksin Covid-19

Masalah kesihatan antara faktor guru tak mahu vaksin Covid-19

0
Masalah kesihatan antara faktor guru tak mahu vaksin Covid-19

SEREMBAN – Masalah kesihatan dilihat antara faktor ada lebih 100 guru lagi di Negeri Sembilan yang masih belum bersedia menerima vaksin Covid-19 sehingga kini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin berkata, bagaimana pun jumlah itu berkurangan daripada 142 orang yang dilaporkan sebelum ini.

“Saya percaya mereka ini bukannya anti vaksin, tapi ada alasan tersendiri antaranya ada masalah kesihatan.

“Harapan kita positif agar mereka ini mengubah fikiran untuk terima vaksin kerana dalam rekod jabatan mereka merupakan guru-guru yang baik dan produktif,” katanya kepada media ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) di Seremban pada Rabu.

Menurutnya, usaha memujuk guru-guru berkenaan masih dilakukan dan berharap mereka akan terbuka hati menerima vaksin.

Berkenaan tindakan yang akan dikenakan terhadap guru-guru terbabit, beliau berkata, ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebelum ini media melaporkan KPM memberi tempoh sehingga 1 November ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia selaras ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengkehendaki semua penjawat awam patuh kepada pekeliling mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November atau berdepan tindakan tatatertib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here