Home Koronavirus Malaysia sumbang 842,600 dos AstraZeneca kepada Bangladesh, Laos

Malaysia sumbang 842,600 dos AstraZeneca kepada Bangladesh, Laos

Malaysia sumbang 842,600 dos AstraZeneca kepada Bangladesh, Laos

PUTRAJAYA – Malaysia menyumbang 842,600 dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca kepada Bangladesh dan Laos.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kedua-dua negara tersebut menerima sumbangan bekalan vaksin itu pada Isnin dan Rabu ini.

“Kerajaan memutuskan untuk menyumbangkan 559,200 dos vaksin jenis AstraZeneca kepada Bangladesh dan 283,400 dos vaksin jenis AstraZeneca kepada negara Laos,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, Malaysia sebelum ini juga pernah menerima sumbangan vaksin dari Jepun, Amerika Syarikat, China dan United Kingdom dengan jumlah keseluruhan 2,913,790 dos.

“Sumbangan ini telah membantu meningkatkan kadar liputan vaksinasi di dalam negara dan kini Malaysia berharap dapat melakukan perkara sama kepada negara-negara yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan kepada Keluarga Malaysia bahawa negara masih mempunyai stok bekalan vaksin mencukupi untuk program vaksinasi populasi dewasa, remaja dan juga pemberian dos penggalak kepada mereka yang layak.

“KKM berharap sumbangan ini dapat membantu usaha kerajaan kedua-dua negara dalam menangani pandemik Covid-19 serta meningkatkan lagi kadarvaksinasi di negara masing-masing,” katanya.

Khairy berkata, kerajaan melalui KKM dan Wisma Putra akan terus mengenal pasti dan membantu negara yang mencatatkan kadar vaksinasi yang rendah melalui pemberian sumbangan vaksin Covid-19.

Setakat Ahad, 98.5 peratus daripada penduduk dewasa negara ini berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 97.1 peratus menerima dos lengkap.

Dalam pada itu, 90.0 peratus populasi remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos sementara 86.5 peratus telah menerima dos lengkap.

Bagi dos penggalak pula, sebanyak 2,958,239 dos penggalak telah diberikan kepada penerima yang layak sejak 13 Oktober lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here