Home Koronavirus Covid-19: KKM selaras semula pembelian molnupiravir

Covid-19: KKM selaras semula pembelian molnupiravir

0
Covid-19: KKM selaras semula pembelian molnupiravir

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyelaras semula pembelian ubat antiviral Molnupiravir bagi menyesuaikan keperluan ubat-ubatan bagi rawatan Covid-19 mengikut peruntukan kerajaan sebanyak RM172 juta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata ia selaras dengan perkembangan terkini selepas syarikat AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech turut mengeluarkan ubat khusus bagi merawat penyakit itu.

“Sebelum ini, KKM umum akan membeli ubat antiviral Molnupiravir dengan syarikat Merck Sharp & Dohme (MSD), cadangan pembelian ubat tersebut adalah kerana pada masa itu hanya ubat itu sahaja diumumkan oleh UK (United Kingdom) melalui Agensi Pengawalseliaan Ubat dan Produk Penjagaan Kesihatan Britain (MHRA), sebagai ubat antiviral khusus untuk rawatan (Covid-19),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin..

Rang undang-undang yang memperuntukkan RM28,030,000,000 kepada KKM dalam Bajet 2022 diluluskan dengan lebih suara menyokong setelah dibahaskan seramai 21 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas.

Pada 7 Oktoer lepas, KKM menandatangani surat aku janji pembelian ubat antiviral Molnupiravir bagi menambah pilihan rawatan inovatif baharu dalam melawan Covid-19.

Melalui perjanjian bersama MSD itu, kerajaan bersetuju membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit Covid-19. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here