Home Koronavirus Malaysia, Filipina saling iktiraf sijil vaksinasi

Malaysia, Filipina saling iktiraf sijil vaksinasi

Malaysia, Filipina saling iktiraf sijil vaksinasi

PUTRAJAYA- Kerajaan Malaysia dan Filipina mencapai kata sepakat untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 secara timbal balas.

Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan perkara itu dicapai pada Isnin.

“Pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam MySejahtera sementara pengembara dari Filipina dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam VaxcertPH,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kementerian itu berkata, kemasukan pengembara adalah tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara.

“Persetujuan tersebut telah membolehkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila membantu tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila pada Ahad lalu untuk memasuki Filipina atas tujuan rasmi dan perniagaan,” katanya.

Ujar KLN, pada dasarnya, Kerajaan Malaysia mengiktiraf pengembara yang telah lengkap menerima vaksin yang diluluskan di bawah Senarai Kegunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau yang diluluskan oleh pihak berkuasa negara-negara tertentu.

Walau bagaimanapun, menurut KLN, pengiktirafan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan negara lain.

“Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Filipina juga sepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi Covid-19 kedua-dua negara secara dalam talian dengan sistem yang lebih selamat dan terjamin bagi memudahkan laluan kemasukan pengembara telah lengkap divaksinasi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tujuh rakyat Malaysia terkandas di lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila selepas dimaklumkan sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here