Home Koronavirus Lebih 40 peratus penduduk dewasa Sabah terima vaksin Covid-19

Lebih 40 peratus penduduk dewasa Sabah terima vaksin Covid-19

0
Lebih 40 peratus penduduk dewasa Sabah terima vaksin Covid-19

KOTA KINABALU – Lebih 1.12 juta atau 40.8 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 sehingga Isnin, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, 485,880 atau 17.6 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin tersebut, dan usaha sedang dilakukan bagi memastikan Sabah mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus sudah divaksin menjelang akhir tahun ini.

Katanya, usaha kini terus dibuat kerajaan untuk menambah kapasiti dan keupayaan pemberian suntikan vaksin Covid-19 melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan pada masa sama memastikan bekalan vaksin sentiasa mencukupi.

“Dalam keadaan virus Covid-19 sudah berada di tengah-tengah masyarakat, kita sedang mengejar masa untuk memberi vaksin kepada setiap orang yang layak untuk disuntik dengan kadar segera.

“Ini bermakna kes baharu akan terus mencatat angka yang tinggi sehingga lebih ramai penduduk memperoleh vaksin. Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Selasa.

Sementara itu, Masidi berkata, daripada 1,383 kes baharu Covid-19 dicatat pada Selasa, sebanyak 1,064 kes dalam kategori satu dan kategori dua, manakala kategori tiga (19 kes), kategori empat (12 kes), kategori lima (6 kes), dan kes selebihnya masih dalam siasatan JKNS.

“Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi hari ini iaitu 326 kes atau hampir 24 peratus daripada kes keseluruhan Sabah, diikuti Tawau 168 kes dan Sandakan dengan 138 kes,” katanya.

Beliau berkata, saringan kontak rapat pula menjadi penyumbang utama kes harian Sabah iaitu 749 kes atau 54.2 peratus diikuti saringan bergejala (322 kes atau 23.3 peratus), saringan kluster (111 kes atau lapan peratus) dan selebihnya dikesan menerusi saringan bersasar.

“Satu kluster baharu direkodkan di Kampung Timbua, Ranau melibatkan 49 kes. Kes tinggi yang melibatkan kontak rapat adalah satu petunjuk bahawa ada dalam kalangan kita yang masih lalai dalam pematuhan SOP (prosedur operasi standard).

“Ia juga satu peringatan agar kita mengurangkan aktiviti bersosial agar tidak terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19, kerana ada pembawa virus Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here