Home Koronavirus Langkawi rekod 57 kes baharu Covid-19

Langkawi rekod 57 kes baharu Covid-19

0
Langkawi rekod 57 kes baharu Covid-19

ALOR SETAR – Pulau Langkawi merekodkan 57 kes baharu selepas sehari pulau peranginan itu dibuka semula kepada pelancong domestik menerusi projek rintis gelembung pelancongan yang bermula pada Khamis.

Bagaimanapun Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, semua kes yang direkodkan adalah kes tempatan dan tidak melibatkan pelancong.

Menurutnya, Langkawi dikategorikan dalam zon merah dan kadar kes baharu dalam tempoh seminggu adalah antara 40 hingga 60 kes baharu setiap hari sepanjang Ogos dan September.

“Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, pada Rabu terdapat 42 kes baharu dan menurun kepada 36 kes pada Khamis, namun melonjak kepada 57 kes pada Jumaat manakala pada Sabtu menurun pula kepada 53 kes baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dr Othman berkata, setakat Sabtu, mukim Kuah mencatatkan jumlah tertinggi kes baharu dengan 29 kes, diikuti Ulu Melaka (tujuh), Kedawang (enam), Ayer Hangat (lima) dan masing-masing tiga kes di mukim Bohor dan Padang Matsirat.

Menurutnya, angka itu menjadikan kini terdapat 645 kes aktif di seluruh pulau legenda dengan mukim Kuah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 264 kes, Air Hangat merekodkan (124), Ulu Melaka (97), Padang Matsirat (88), Bohor (38) serta Kedawang dengan 34 kes.

Berdasarkan data JKN Kedah merekodkan 1,073 jangkitan baharu pada Sabtu, menjadikan kumulatif sejak wabak Covid-19 menular di negeri ini mencecah 124,982, dengan 18,717 kes aktif.

Dari segi kapasiti dan katil hospital Covid-19 di Kedah yang dikemas kini sehingga Jumaat, menunjukkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) adalah 76 peratus, manakala katil bukan ICU sekitar 68 peratus.

Peratus kumulatif pemberian dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa sebanyak 77.5 peratus, dengan populasi keseluruhan adalah 55.5 peratus.

Sementara itu, peratus populasi dewasa yang disuntik satu dos vaksin adalah 92.9 peratus berbanding populasi keseluruhan 66.9 peratus.

Langkawi mula menerima kehadiran pelancong bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik bermula Khamis setelah hampir dua tahun ditutup susulan penularan Covid-19 bermula awal tahun lalu.

Dianggarkan lebih 3,200 pelancong tiba pada hari pertama pembukaan Langkawi, dengan ketibaan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) sekitar 2,200 pelancong, manakala selebihnya melalui Jeti Kuah.

Setiap pelancong dikenakan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan menaiki pesawat atau feri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here