Home Koronavirus Lagi lokaliti di Sabah, Kelantan kena PKPD

Lagi lokaliti di Sabah, Kelantan kena PKPD

Lagi lokaliti di Sabah, Kelantan kena PKPD

SHAH ALAM – Tiga lokaliti di Sabah dan satu di Kelantan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 21 Jun hingga Julai depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga kawasan di Sabah yang terlibat ialah Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan; Fasa Satu dan Fasa Dua, Taman Digot, Penampang dan Kampung Rancangan Silabukan Peringkat Empat, Lahad Datu.

Menurut beliau, satu lokaliti di Kelantan yang dikenakan PKPD pada tempoh yang sama ialah Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan secara bersasar ke atas penduduk terlibat seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke komuniti lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan pelaksanaan PKPD di beberapa lokaliti termasuk empat rumah panjang di Batang Oya, Dalat, Mukah, Sarawak.

Beliau berkata, pelanjutan yang bermula 21 Jun sehingga 4 Julai itu akan membabitkan Rumah Panjang Bala anak Umba, Rumah Panjang Tulu anak Sli, Rumah Panjang Duah anak Entingi, Rumah Panjang Balik anak Gema, Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di tujuh lokaliti yang terletak di Sabah, Pahang dan Perak pada Ahad iaitu 20 Jun ini.

Katanya, lokaliti di Sabah yang akan menamatkan pelaksanaan PKPD ialah Felda Umas 4, Kalabakan; Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau dan tiga perkampungan di Tawau iaitu Kampung Blok 31, Kampung Sentosa, Blok 5 Hilltop dan Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu.

“PKPD akan turut ditamatkan di Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang dan Asrama Pekerja Kilang Eco Medi Glove, Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping, daerah LMS, Perak,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here