LABUAN – Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech sebanyak 4,680 dos dari Kota Kinabalu, Sabah selamat tiba di Terminal Feri Ro-Ro Labuan pada Jumaat.
Selepas feri Kimanis 1 berlabuh di jeti terminal kira-kira 9.50 pagi, pekerja DHL Express dilihat memindahkan vaksin berkenaan ke dalam trak yang sedang menunggu dengan pengawasan oleh anggota polis Labuan.
Vaksin itu dibawa menggunakan jalan darat dengan sebuah van dari Kota Kinabalu sejauh 155 km dan dibawa menaiki feri ke Labuan dengan diiringi bot peronda polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
Vaksin berkenaan kemudian dipindahkan ke Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Labuan di bawah jagaan polis kontinjen Labuan.
Antara yang hadir menyambut ketibaan vaksin itu ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari; Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Ismail; pemangku Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Ghani dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Labuan Mohd Hafiez Daud.
Dr Ismuni berkata, fasa pertama program vaksinasi Covid-19 di Labuan akan melibatkan 2,340 petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, pemimpin tempatan dan wakil agensi media kerajaan yang berpangkalan di Labuan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM dan Jabatan Penerangan.
Program imunisasi fasa pertama di Labuan akan bermula esok di Klinik Kesihatan Membedai dengan Dr Ismuni yang pertama akan menerima suntikan, diikuti Senator Datuk Bashir Alias; Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli; Rithuan; Mohd Ibrahim dan 12 wakil media.
Dr Ismuni berkata program imunisasi itu akan melibatkan 103,000 penduduk Labuan yang dijangka dilaksanakan hingga akhir tahun ini.
“Jabatan Kesihatan Labuan ditugaskan untuk memastikan 100 peratus penduduk di sini akan menerima vaksin bagi mencapai imuniti kelompok di pulau ini,” katanya.
Beliau berkata fasa kedua vaksinasi dijadualkan pada Mei sebaik sahaja fasa pertama selesai.
“Saya berharap prosesnya akan berjalan lancar…petugas kesihatan Labuan akan memberi komitmen penuh kepada kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya. – Bernama