Home Koronavirus Kuala Lumpur antara ibu kota di dunia capai 80 peratus vaksinasi

Kuala Lumpur antara ibu kota di dunia capai 80 peratus vaksinasi

0
Kuala Lumpur antara ibu kota di dunia capai 80 peratus vaksinasi

SHAH ALAM – Kira-kira 80 peratus penduduk di Kuala Lumpur dijangka menerima dua dos vaksin Covid-19 dalam tempoh dua hari lagi.

Ia sekali gus menjadikannya Kuala Lumpur antara ibu kota terawal di dunia lengkap menerima suntikan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa ini, seramai 1.38 juta individu atau 78 peratus daripada populasi penduduk di Kuala Lumpur sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Insya-ALLAH dua hari lagi pada hujung minggu ini, kita bakal mencapai 80 peratus atau 1.48 juta penduduk lengkap dos kedua vaksinasi,” katanya menerusi Facebook beliau pada Jumaat.

Annuar berkata, berdasarkan data tersebut, Kuala Lumpur juga menjadi wilayah kedua selepas Labuan menerima dua dos vaksin berkenaan.

Beliau sehubungan itu berkata, Kuala Lumpur perlu membuat persiapan ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kegiatan ekonomi dan kehidupan rakyat mula dibuka secara berperingkat.

Sementara itu, beliau bercadang membentuk jawatankuasa penasihat pemulihan Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada ahli Parlimen daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), senator, tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat dan lain-lain.

“Jawatankuasa ini dapat bersama membantu pelaksanaan program pemulihan yang berkesan di Wilayah Persekutuan,”jelas beliau.

Menerusi info grafik yang kongsi Annuar di Facebook, beliau menunjukkan sebanyak 4.25 juta dos suntikan vaksin Covid-19 telah diberikan kepada penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here