Home Koronavirus KPKT rancang laksana Movak Outreach 2.0

KPKT rancang laksana Movak Outreach 2.0

0
KPKT rancang laksana Movak Outreach 2.0

GEORGETOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merancang melaksanakan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) Outreach 2.0 susulan kejayaan yang dilaksanakan sebelum ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, Movak kali kedua itu menyasarkan penduduk yang belum divaksin di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) termasuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Beliau memberitahu, program berkenaan merupakan inisiatif tambahan bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan mengambil kira situasi semasa bilangan kes Covid-19 yang tinggi dalam negara.

“Ia juga bertujuan meningkatkan jumlah pendaftaran dan penerimaan vaksin.

“Perincian pelaksanaan, tarikh dan negeri terlibat akan diumumkan kelak,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penutup Movak Outreach 1.0 di Dewan Sri Pinang di sini pada Ahad.

Sehingga kini, Movak Outreach 1.0 telah dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Secara keseluruhan, kata Dr Ismail, sebanyak 84,868 dos suntikan vaksin diperuntukkan bagi program inisiatif KPKT dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu yang bermula pada 23 Ogos lalu di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, seramai 15,266 orang dengan 11,010 telah divaksin dalam fasa satu manakala 4,256 orang bagi Fasa 2 MOVAK: Penang Vaksin Penjaja (PVP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here