Home Koronavirus Korban Covid-19 kini 36,009

Korban Covid-19 kini 36,009

0
Korban Covid-19 kini 36,009
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia lebih dua tahun lalu setakat Jumaat (5 Ogos) meragut 36,009 nyawa dengan kumulatif kes meningkat kepada 4,701,140.

Kes Covid-19 yang masih aktif dalam negara pula sebanyak 46,506 dan daripada jumlah itu, sebanyak 96.4 peratus (44,843 kes) menjalani kuarantin di rumah.

Sejumlah 28,141 kes harian baharu direkod sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (30 Julai – 5 Ogos) berbanding 28,884 kes untuk tempoh yang sama (23 Julai – 29 Julai).

Sepanjang tempoh Rangkuman ini, angka kes harian baharu hanya mencecah 5,000 pada 3 Ogos (5,330). Kali terakhir kes harian mencecah 5,000 ialah pada 20 Julai 2022 iaitu 5,685.

Sebanyak 3,927 kes harian baharu dilaporkan pada Jumaat (5 Ogos) termasuk 14 kes import dan 10 daripadanya dilaporkan di Pulau Pinang.

Sebanyak enam kes kematian pesakit Covid-19 dilaporkan pada Jumaat, menambahkan jumlah kes sepanjang tempoh Rangkuman ini kepada 53 kes.

Menurut data CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga jam 11:59 malam 5 Ogos 2022, daripada 3,927 kes, hanya Selangor mencatat kes empat angka (1,052 kes).

Lapan buah negeri mencatat kes tiga angka iaitu WP Kuala Lumpur (981), Perak (324), Sabah (315), Pulau Pinang (232), Negeri Sembilan (231), Melaka (155), Johor (128) dan Kedah (121).

Kes dua angka dilaporkan di Sarawak (99), WP Putrajaya (96), Pahang (93), Kelantan (49), Terengganu (32) dan Perlis (12). WP Labuan mencatat kes satu angka (7).

Sementara itu, sebanyak 4,949 kes sembuh Covid-19 dilaporkan sehingga jam 11:59 malam 5 Ogos 2022, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,618,625 kes.

Sepanjang tempoh Rangkuman Bernama ini, KKM melaporkan lapan kluster baharu iaitu pada 31 Julai (kumpulan berisiko tinggi 1 kes – Kinta/Perak); 2 Ogos (tempat kerja 1 kes – Kuala Langat/Selangor & pendidikan 1 kes – Seremban/Negeri Sembilan), 3 Ogos (pendidikan 1 kes – Kepong/WP Kuala Lumpur); 4 Ogos (tempat kerja 1 kes – Hulu Langat/Selangor) dan 5 Ogos (kumpulan berisiko tinggi 3 kes/WPKL 1, P.Pinang 1 dan Negeri Sembilan 1),

Secara keseluruhannya, sebanyak 7,046 kluster dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu dan setakat 5 Ogos, 23 kluster masih aktif.

Data CovidNow KKM setakat jam 11:59 malam 5 Ogos 2022 menunjukkan sebanyak 44,843 kes (96.4 peratus) dikuarantin di rumah daripada 46,506 kes aktif yang dilaporkan.

Sebanyak 24 (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 1,587 kes (3.4 peratus) di hospital; 14 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 38 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Dengan sebanyak 4,701,140 kumulatif kes, Malaysia kini di tangga 26 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19.Di hadapan Malaysia ialah Austria (4,776,787) dan Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) sebanyak 4,772,813 kes.

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun mencatat kes harian baharu tertinggi sebanyak 253,393 diikuti Korea Selatan (112,857) dan Amerika Syarikat (89,240).

Jepun dilaporkan kini berdepan dengan gelombang ke-tujuh Covid-19 akibat penularan sub-varian Omicron BA.5 yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi.

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,058,637 kes. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here