Home Koronavirus Kluster Taman Waja: 111 individu jalani saringan Covid-19

Kluster Taman Waja: 111 individu jalani saringan Covid-19

0
Kluster Taman Waja: 111 individu jalani saringan Covid-19

KUALA PILAH – Seramai 111 penduduk yang tinggal di dua blok berasingan di Taman Waja di sini menjalani saringan ujian Covid-19 pada Rabu lepas selepas terdapat kes positif wabak itu melibatkan Kluster Taman Waja.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah ( JKPBD ) Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap berkata, saringan pengawasan secara bersasar itu dilakukan berikutan kadar jangkitan wabak itu yang tinggi direkodkan di kedua-dua blok berkenaan dengan tiga kematian.

Menurutnya, Kluster Taman Waja telah diisytiharkan pada Selasa lalu dan merupakan kluster ke lapan di daerah Kuala Pilah.

“Keputusan ujian saringan yang dijalankan pada Rabu itu akan diterima dalam tempoh tiga ke empat hari.

“Sepanjang tempoh ini, mereka dipakaikan gelang kuarantin berwarna merah jambu, diberikan surat perintah kuarantin dan diarahkan menjalani kuarantin di rumah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Faizal berkata, sekiranya keputusan ujian adalah negatif, gelang kuarantin akan dipotong dan borang pelepasan perintah kuarantin akan diberikan.

“Bagaimanapun, jika keputusan adalah positif, pesakit akan dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau ke hospital untuk tujuan pengasingan dan rawatan.

“Semua kontak rapat yang tinggal serumah bersama kes positif perlu meneruskan kuarantin dan wajib menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua,” katanya.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Pilah akah menyelarasakan bantuan makanan dengan Pejabat Parlimen Kuala Pilah dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Pilah kepada penduduk yang terlibat.

“Hari ini (Jumaat), Pejabat Parlimen juga akan serah bantuan barang basah seperti ikan, ayam dan sayur,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal menjelaskan penduduk terlibat boleh menghubungi talian hotline Kluster Taman Waja ditalian 017-655 2040 sekiranya terdapat sebarang aduan atau masalah sepanjang tempoh kuarantin.

Sementara itu, sehingga Khamis, sebanyak 2,870 kumulatif kes Covid-19 dicatatkan di daerah ini dengan 586 kes aktif yang sedang menjalani pengasingan dan rawatan.

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataannya menjelaskan terdapat kluster baharu direkodkan di Kuala Pilah melibatkan Kluster Taman Waja, kes indeks merupakan seorang wanita warganegara berusia 49 tahun dilaporkan positif wabak pada 10 Jun lalu hasil saringan kontak rapat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here