Home Koronavirus Kluster Dah Teratai Jingga jadi kluster pendidikan baharu di Kedah

Kluster Dah Teratai Jingga jadi kluster pendidikan baharu di Kedah

0
Kluster Dah Teratai Jingga jadi kluster pendidikan baharu di Kedah

ALOR SETAR – Kluster Dah Teratai Jingga menjadi kluster terbaharu Covid-19 yang dikesan di Kedah melibatkan Maktab Mahmud Alor Setar, di sini, setakat Khamis.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman memberitahu, kluster berkenaan adalah kluster pendidikan yang kesembilan di negeri ini.

Menurut beliau, sebelum ini, tiga lagi kluster pendidikan turut diisytiharkan di negeri ini iaitu Kluster Dah Sungai Limau melibatkan warga Sekolah Menengah Agama, SMA Saadah Al-Diniyah Al-Islamiyah di Yan.

“Selain itu, kluster Dah Sungai Kob membabitkan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Sungai Kob, Karangan di Kulim dan kluster Dah Padang Halban di SMK Changlun, Kubang Pasu.

“Ia selepas tiga kluster iaitu Kluster Dah Penyarom diisytiharkan di Maktab Mahmud Pendang, diikuti Kluster Dah Teluk Teduri melibatkan warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling dan Kluster Dah Jalan Pantai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda, Sungai Petani,” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Katanya, kebanyakan kes jangkitan Covid-19 bagi kluster institusi pendidikan ini berlaku melibatkan pelajar asrama disebabkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, peningkatan kes positif Covid-19 dipercayai disebabkan kelekaan mematuhi SOP, termasuklah melibatkan penjarakkan fizikal antara pelajar dan tidak mematuhi sistem penggiliran disebabkan musim peperiksaan.

Bagaimanapun, ujar beliau, semua pelajar yang disahkan positif telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) berhampiran mereka.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai termasuklah warga institusi pendidikan agar terus patuh mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah beliau, mana-mana pelajar yang dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing diminta melakukan kuarantin di rumah mereka dan tidak ke mana-mana.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Maktab Mahmud Tobiar, Pendang, di sini, ditutup selama tujuh hari selepas 99 pelajar asrama disahkan positif Covid-19 pada Selasa.

Kes positif itu mula dikesan selepas beberapa pelajar perempuan mengalami gejala batuk dan demam.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda di sini dilaporkan diarahkan tutup selepas 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here