Home Koronavirus KKM, MOSTI bangunkan teknologi perubatan menuju fasa endemik Covid-19

KKM, MOSTI bangunkan teknologi perubatan menuju fasa endemik Covid-19

0
KKM, MOSTI bangunkan teknologi perubatan menuju fasa endemik Covid-19

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membangunkan lebih banyak teknologi perubatan ketika negara menuju fasa endemik Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, lebih banyak peranti perubatan boleh dihasilkan menerusi kerjasama tersebut termasuk bentuk baharu pengesanan kontak rapat yang boleh dilaksanakan di negara ini.

“Banyak teknologi dan peranti perubatan yang perlu dibangunkan dalam fasa-fasa akan datang, terutama apabila kita masuk fasa endemik dan KKM perlukan kerjasama daripada MOSTI,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Menteri Kesihatan di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Khairy dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba yang bertukar portfolio menyerahkan nota serah terima tugas masing-masing, susulan pembentukan barisan kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Ogos lepas.

Pada 1 September lepas, Khairy berkata, Malaysia dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 menjelang Oktober selaras dengan sasaran kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di negara ini divaksinasi pada Oktober ini.

Sementara itu, Khairy berkata, KKM akan menyokong inisiatif menghasilkan vaksin Covid-19 pertama negara yang dipertanggungjawabkan kepada MOSTI dengan diterajui Dr Adham.

“Perdana Menteri beri tugasan berat kepada MOSTI iaitu untuk hasilkan vaksin Covid-19 iaitu vaksin pertama Malaysia untuk manusia. Ia memang penting kerana jika ada keperluan pada masa akan datang, kita tidak perlu lagi berunding dengan negara luar,” katanya.

Ismail Sabri pada 28 Ogos lepas memaklumkan MOSTI kini akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin Covid-19, manakala semua program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan Covid-19 hanya dikendalikan KKM. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here