Home Koronavirus KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

0
KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan selain Baricitinib untuk merawat pesakit Covid-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Bercakap pada sesi dialog Sidang Kemuncak Pemulihan Negara pada Khamis, Dr Hishamshah berkata, ubat-ubatan itu akan menjadi sebahagian daripada kumpulan ubat yang kini digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 dalam kategori kritikal.

“Ia menjadi satu cabaran pada kita. Bagaimanapun Malaysia telah secara aktif terlibat dalam banyak ujian klinikal untuk rawatan Covid-19 dan telah mengambil bahagian dalam Ujian Solidariti untuk Rawatan Covid-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita juga sedang menggunakan Baricitinib, sejenis ubat baharu dan kita sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan lain yang mungkin akan mendapat kebenaran penggunaan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) dalam masa terdekat, serta kita sedang berbincang mengenai perkara itu dengan pihak pengeluar,” katanya pada sidang yang diadakan secara maya itu, anjuran Institut Strategik Bagi Asia Pasifik KSI.

Sementara itu, Dr Hishamshah berkata, KKM sedang meneliti kaedah untuk memudahkan golongan B40 mendapatkan kit ujian pantas antigen Covid-19.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata, kerajaan akan terus menyemak semula harga kit ujian kendiri itu bagi menjadikan kit tersebut mampu dimiliki semua pihak.

Minggu lepas kerajaan menetapkan harga siling kit ujian pantas antigen Covid-19 pada RM19.90 setiap set dan harga borong RM16 setiap set, berkuat kuasa 5 September lepas. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here