Home Koronavirus Dua kes import baharu dikesan di Labuan

Dua kes import baharu dikesan di Labuan

0
Dua kes import baharu dikesan di Labuan

LABUAN – Dua kes import Jenis A Covid-19 baharu yang dikesan pada Selasa (7 September) di sini sedang dianalisis sama ada berkait dengan varian yang membimbangkan (VOC).

Jenis A adalah kes import membabitkan warga asing manakala Jenis B membabitkan kes dari luar Labuan tetapi dari dalam Malaysia.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, dua kes berkenaan melibatkan kru kapal asing yang pelabuhan terakhir mereka adalah negara iaitu varian Mu dan Lambda Covid-19 dikesan.

“Satu daripada kes tersebut dikhuatiri boleh mencetuskan jangkitan yang tinggi, jadi kita tidak ada pilihan terpaksa menghantar sampel untuk dianalisis ke Semenanjung,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Ujar Dr Ismuni, dua kes berkenaan dikesan ketika pasukan petugas kesihatan swasta menjalankan saringan Covid-19 di atas kapal itu pada 6 September.

Beliau berkata, susulan pengesanan dua kes tersebut, kesemua 28 kru telah diarah menjalani kuarantin di atas kapal.

“Kes tersebut dikesan ketika ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) mandatori yang dikuatkuasakan ke atas kesemua anak kapal yang memasuki Labuan… ini merupakan kes import Jenis A pertama dikesan selepas varian Delta menyerang Labuan menyebabkan peningkatan mendadak kes dan kematian harian Covid-19,” katanya.

Dr Ismuni juga mendedahkan terdapat lima kes import baharu membabitkan kru kapal asing dikesan semalam dan sebahagiannya juga akan dihantar untuk dianalisis.

Labuan mencapai 100 peratus populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 pada Selasa lepas.

Wilayah Persekutuan itu memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan merekodkan kes harian satu digit dan tiada kematian baharu sejak 35 hari lalu, manakala jumlah kematian kekal 149 setakat Khamis. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here