Home Koronavirus KKM hantar peralatan perubatan tambahan ke Sabah

KKM hantar peralatan perubatan tambahan ke Sabah

KKM hantar peralatan perubatan tambahan ke Sabah

SHAH ALAM – Beberapa langkah intervensi dilaksanakan termasuk kesiapsiagaan dari segi kemudahan, bantuan peralatan dan sumber manusia bagi menghadapi trend peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Sabah.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan menghantar peralatan perubatan tambahan seperti silinder oksigen, oksigen regulator dan ubatan Covid-19 yang dijangka tiba pada 7 September ini melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan modular unit rawatan rapi (ICU) dengan kapasiti 10 katil di Hospital Tawau yang dijangka mula beroperasi hujung September ini.

“Bilangan ambulan akan dipertingkatkan melalui kaedah penyewaan sementara menunggu proses perolehan selesai mengikuti tatacara semasa.

“Sabah juga akan diberikan tumpuan khas bagi pemberian vaksin Covid-19 menerusi 224 buah Pusat pemberian Vaksin (PPV) selain meningkatkan aktiviti vaksinasi bagi vaksin CanSino melalui program jangkau luar di kawasan-kawasan pedalaman dan sukar diakses bermula 27 Ogos 2021 sehingga hujung September ini,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Negeri Sabah dan lawatan kerja selama dua hari.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, seramai 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap diarahkan melaporkan diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September lalu.

Kata beliau, arahan tersebut bagi memastikan penggunaan sumber manusia yang optimum bagi semua fasiliti kesihatan KKM termasuk di lapangan.

“Seramai 50 pegawai perubatan tambahan akan ditawarkan pelantikan tetap bermula pada 13 September 2021,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here