Home Koronavirus Kadar kematian Covid-19 harian di Lembah Klang bukan keadaan sebenar

Kadar kematian Covid-19 harian di Lembah Klang bukan keadaan sebenar

0
Kadar kematian Covid-19 harian di Lembah Klang bukan keadaan sebenar

KOTA KINABALU – Kadar kematian harian akibat Covid-19 di Lembah Klang tidak merujuk kepada keadaan sebenar disebabkan data kes tertunggak atau ‘backlog’ kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan, data yang dikeluarkan setiap hari sejak kebelakangan ini bukan kematian dalam tempoh 24 jam, sebaliknya ia adalah data yang dimasukkan selepas kemas kini dibuat.

“Jumlah kematian yang kita laporkan setiap hari itu bukanlah jumlah kematian dalam tempoh 24 jam yang lepas. Terdapat banyak ‘backlog’ kes kematian… sebab kita perlu dapatkan pengesahan sama ada si mati betul-betul mati akibat Covid-19 atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menguruskan kemas kini data kes kematian yang tertunggak dan bilangannya akan dilihat menurun dalam tempoh kira-kira tiga minggu lagi.

“Di Lembah Klang, kita akan dapat lihat penurunan kadar kematian dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi apabila kita selesai mengemas kini data ‘backlog’ kematian,” katanya.

Khairy ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Sabah di Kota Kinabalu pada Isnin.

Mesyuarat berkenan yang dipengerusikan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bertujuan membantu Sabah mendepani pandemik Covid-19.

Pada mesyuarat tersebut, Khairy turut mengumumkan bantuan kesihatan untuk Sabah termasuk bantuan 480 unit silinder oksigen, 24 buah kotak regulator oksigen dan 29 ambulans yang akan diterbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok.

Sementara itu, Khairy berkata, tambahan seramai 97 pegawai perubatan ditempatkan di Sabah bagi meningkatkan keupayaan sistem kesihatan negeri itu menghadapi kes Covid-19.

Beliau berkata, selain itu, seramai 78 pembantu perubatan yang diarah bertugas di Selangor sebelum ini, akan dipindahkan semula ke Sabah bermula minggu ini.

“Kita akan membuat penempatan mobilisasi semula tenaga kerja KKM ke Sabah untuk membantu dari segi kerja perubatan di sini.

“Jadi sejumlah 97 daripada 150 pegawai lantikan diarah melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September, seramai 50 pegawai perubatan akan ditawarkan lantikan tetap bermula 13 September, baki keperluan pegawai perubatan akan ditampung dengan pengisian pegawai perubatan siswazah,” katanya.- Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here