PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mendapatkan fakta yang terperinci berhubung dakwaan pelajar meninggal dunia dan mengalami kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) serius selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya memandang serius terhadap setiap isu seperti dibangkitkan di dalam video tular.
“KKM akan memberikan respon berkenaan perkara ini dalam masa yang terdekat.
“Semua pihak diminta bertenang dan tidak menimbulkan kebimbangan awam, sementara kementerian meneliti perkara tersebut,” ciapnya menerusi Twitter pada Rabu.
Sebelum ini, sebuah video berdurasi 1.42 saat memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa pelajar mengalami AEFI.
Turut didakwa, dua pelajar Sekolah Menengah Tasek Damai, Ipoh, Perak dan seorang lagi di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19.