Home Koronavirus KKM buka Portal Vaksin-Anak-Ku untuk remaja, tubuh CITF-A

KKM buka Portal Vaksin-Anak-Ku untuk remaja, tubuh CITF-A

0
KKM buka Portal Vaksin-Anak-Ku untuk remaja, tubuh CITF-A

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membangunkan portal pendaftaran institusi iaitu Portal Vaksin-Anak-Ku sebagai langkah awal.

Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja dalam kenyataan berkata, semua sekolah, institusi pendidikan, perlindungan dan pemulihan kerajaan dan swasta dimohon untuk mendaftarkan institusi masing-masing di portal tersebut.

Menurutnya, ibu bapa dan penjaga kepada remaja disarankan untuk mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan di dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan remaja mendapatkan sijil vaksinasi digital masing-masing.

“KKM menawarkan pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja dengan memberi keutamaan kepada mereka yang berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam dan remaja dengan komorbid.

“Program ini juga menyasarkan murid di sektor pendidikan swasta, remaja dalam institusi perlindungan dan pemulihan serta remaja dalam komuniti seperti remaja gelandangan, pelarian, dan bukan warganegara,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Dalam masa sama, KKM berkata, satu pasukan petugas khas yang dikenali sebagai Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Menurutnya, jawatan kuasa bertindak CITF-A ini ditugaskan untuk membuat penetapan dasar dan penyelarasan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja.

Selain itu, katanya, CITF-A juga berperanan mengkoordinasi strategi dan tindakan pelaksanaan di peringkat Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dan agensi swasta yang terlibat.

“Keanggotaan CITF-A adalah terdiri daripada pelbagai agensi berkepentingan seperti KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan, ProtechHealth, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Pendidikan Mara.

“Turut sama, Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Penjara, dan Jabatan Imigresen,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jenis vaksin yang akan digunakan adalah Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech dan telah mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Proses pemberian vaksin kepada remaja akan dilakukan melalui beberapa kaedah iaitu secara jangkau luar ke sekolah atau institusi secara berjadual bagi memudahkan remaja yang akan menduduki peperiksaan utama yang bersekolah di sekolah berasrama penuh atau asrama harian.

“Janji temu vaksin bagi dos satu akan diberikan di klinik swasta atau sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka manakala dos dua akan diberikan di sekolah masing-masing atau di lokasi pemberian dos satu sekiranya sekolah mereka belum beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, KKM berkata, kaedah khusus untuk remaja dengan komorbid adalah mereka perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.

Bagaimanapun KKM memaklumkan, bagi remaja yang tidak dapat hadir bersama ibu bapa atau penjaga, mereka diberikan janji temu ke klinik kesihatan swasta yang berdekatan melalui aplikasi MySejahtera.

“CITF-A menyasarkan 60 peratus remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada bulan November 2021 dan 80 peratus remaja mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

“CITF-A akan memastikan sasaran ini dapat dicapai dan kerjasama dari semua agensi diperlukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here