Home Koronavirus Kebenaran ‘walk-in’ vaksin di NS bermula 20 September ini

Kebenaran ‘walk-in’ vaksin di NS bermula 20 September ini

0
Kebenaran ‘walk-in’ vaksin di NS bermula 20 September ini

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan 19,000 dos suntikan vaksin Covid-19 secara terus atau ‘walk in’ bagi individu yang belum mendapatkan vaksin itu bermula 20 hingga 25 September ini di 10 pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan sebuah klinik kesihatan yang terpilih di setiap daerah di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kemudahan itu bagi memastikan seluruh rakyat di negeri ini yang berumur lebih 18 tahun menerima suntikan vaksin dan seterusnya memastikan kadar jangkitan Covid-19 di negeri ini terus melandai.

“Pemberian vaksin secara terus ini hanya untuk warganegara Malaysia di Negeri Sembilan yang berumur 18 tahun ke atas dan tidak melibatkan rakyat dari negeri lain atau bukan warganegara.

“Selain itu, kemudahan ini diberikan kepada mereka yang telah mendaftar di MySejahtera tetapi belum mendapat tarikh janji temu atau mereka belum mendaftar dengan MySejahtera,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Aminuddin berkata, bagi rakyat yang telah menerima janji temu melalui MySejahtera, mereka tidak dibenarkan ‘walk-in’ dan perlu mematuhi tarikh janji temu yang diberikan melalui MySejahtera.

“Sehubungan itu, orang ramai di negeri ini yang belum menerima suntikan vaksin boleh hadir secara terus di mana-mana PPV dan klinik kesihatan yang disenaraikan antaranya di Dewan Majlis Bandaraya Seremban; Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban; Dewan Kompleks Belia dan Sukan Teluk Kemang, Port Dickson; Dewan D’Sury, Jelebu; Dewan Pejabat Daerah Jempol; Dewan Majlis Perbandaran Jempol (Bahau); Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong 6, Jempol; Dewan Dato’ Bahaman, Kuala Pilah; Klinik Kesihatan Rembau; Dewan Perdana Tampin dan Dewan Besar Gemas bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

“Kaedah pelaksanaan pemberian suntikan secara terus ini adalah ‘siapa cepat, dia dapat’ dan pemberian vaksin ini bergantung kepada bekalan vaksin harian di semua PPV yang terlibat.

“Orang ramai yang hadir secara ‘walk-in’ tetapi tidak mendapat suntikan pada hari berkenaan kerana kehabisan vaksin akan diberi janji temu pada hari berikutnya bagaimanapun, mereka yang bergejala, kontak rapat dan dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan hadir ‘walk-in’ ke PPV,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan telah berjaya mencapai imuniti kelompok iaitu 80 peratus rakyat berumur lebih 18 tahun menerima vaksin lengkap pada 2 September lalu

“Sejak Isnin lalu Negeri Sembilan telah berjaya mencapai seratus peratus rakyat berumur lebih 18 tahun menerima vaksin dos 1 dan sebanyak 88.9 peratus individu telah menerima suntikan lengkap vaksin dos kedua,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here