Home Koronavirus Ketat SOP kemasukan pengembara luar bukan langkah tepat

Ketat SOP kemasukan pengembara luar bukan langkah tepat

0
Ketat SOP kemasukan pengembara luar bukan langkah tepat

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – Foto 123RF (Gambar kecil: King Sing)

SHAH ALAM – Langkah mengetatkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berhubung kemasukan pengembara luar negara bukan langkah yang tepat dan berkesan ketika ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Malaysia telah menerima kemasukan pengembara dari seluruh dunia lebih awal sebelum ini termasuk dari negara dengan rekod jangkitan wabak Covid-19 yang tinggi.

“Kita bersyukur kerana situasi penularan Covid-19 di Malaysia boleh dianggap terkawal.

“Malah China juga telahpun melepasi fasa lonjakan jangkitan Covid-19, maka itu mengetatkan SOP sedia ada bukanlah langkah tepat dan berkesan ketika ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut King Sing, angka RM30 bilion yang beliau nyatakan sebelum ini adalah bagi menunjukkan betapa besarnya nilai ekonomi bagi sektor pelancongan yang secara khusus melibatkan negara China.

“Ini juga seiring dengan ramalan peningkatan pengembara China ke Malaysia dari tiga juta pada tahun 2019 kepada kira-kira enam juta tahun ini,” katanya.

Pada Jumaat, King Sing dilaporkan berkata, Malaysia berisiko kehilangan hasil pelancongan hampir RM30 bilion tahun ini sekiranya mendiskriminasikan pelancong dari China.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bintulu itu menegaskan, kementeriannya amat mengutamakan soal keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia, namun ia juga perlu diseimbangkan dengan faktor ekonomi yang turut menjadi kepentingan rakyat dan negara.

“Setakat ini, kita masih kekal dengan status quo dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

“Jika ada perubahan situasi dan keperluan mendesak, sudah tentu kita akan memperketat SOP secara khusus,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan fakta Amerika Syarikat (AS) mencatatkan 99 juta jangkitan dan 1.08 juta kematian akibat Covid-19, manakala China, 31,000 kematian dengan 10.16 juta kes positif direkodkan.

Beliau berkata, kemungkinan atas faktor itu juga negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja tidak mengetatkan kemasukan pengembara dari China.

“Dalam masa sama, timbul persoalan mengenai kedatangan pengembara dari AS, Jepun, Korea dan Perancis yang turut merekodkan jumlah jangkitan tinggi.

“Jika mengambil kira penduduk China seramai 1.4 bilion, kadar kematian akibat wabak ini ialah 0.002 peratus. Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia pula 5.02 juta dengan 0.7 peratus kematian direkodkan,” katanya.

King Sing berkata, sebarang kenyataan yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan Malaysia tidak mendiskriminasi pengembara dari mana-mana negara sekalipun termasuk China.

Menurutnya, ia penting demi memelihara hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara luar terutamanya rakan dagangan Malaysia.

“Soal diskriminasi ini perlu dipandang serius. Lantas itu, saya membandingkan negara-negara selain China, yang juga berupaya menjadi negara berisiko tinggi penularan wabak di negara ini.

“MOTAC menegaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan, namun langkah mendiskriminasi mana-mana negara tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan sahaja menjejaskan hubungan diplomatik, tetapi juga memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di saat negara sedang beransur pulih,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here