JUMLAH kumulatif kes positif Covid-19 global kini melebihi 380 juta, berikutan pertambahan lebih 4 juta kes dalam tempoh 24 jam yang lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 75 juta kes.
Ini diikuti India dan Brazil dengan masing-masing merekodkan 41 juta kes dan 25 juta kes.
Negara yang melebihi angka 11 juta kes adalah Perancis, United Kingdom, Turki, Rusia dan Itali, manakala Sepanyol dan Jerman, 10 juta kes.
Di Asia Tenggara, Indonesia kekal merekodkan jumlah kes positif tertinggi dengan lebih 4.3 juta, diikuti Filipina melebihi 3.5 juta, Malaysia 2.8 juta, Thailand dengan 2.4 juta kes dan Singapura melebihi 352,000 kes.
Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 5.68 juta.
Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 889,000 kes dan diikuti Brazil dengan lebih 627,000 kes, India lebih 496,000 kes dan Rusia lebih 325,000 kes.
Sementara Mexico kini catat lebih 306,000 kematian, manakala United Kingdom, Itali, Perancis dan Jerman pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.
Negara yang merekodkan angka korban melebihi 90,000 kes adalah Sepanyol.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 144,000 kes korban.
Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 54,000 diikuti Malaysia dengan 31,000 kes dan Thailand dengan lebih 22,000 angka korban. – Awani