Home Koronavirus Vaksin Covid-19: Kanak-kanak berisiko tinggi, perlu dilindungi

Vaksin Covid-19: Kanak-kanak berisiko tinggi, perlu dilindungi

0
Vaksin Covid-19: Kanak-kanak berisiko tinggi, perlu dilindungi

SHAH ALAM – Pemberian vaksin kepada kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 12 tahun adalah penting memandangkan golongan tersebut dianggap sebagai berisiko tinggi ketika ini.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, ini kerana terdapat pelbagai kelonggaran telah dibenarkan yang turut melibatkan golongan tersebut terdedah dengan risiko jangkitan.

“Menurut kajian dan data saintifik daripada Amerika Syarikat (AS), Singapura dan beberapa negara lain, kita dapati bahawa vaksin Covid-19 perlu diberikan kepada anak-anak. Mereka adalah golongan yang mudah untuk dijangkiti, sama seperti golongan dewasa.

“Melihat kepada akhir-akhir ini, banyak kelonggaran yang telah diberikan seperti rentas negeri, aktiviti besar-besaran seperti membuat majlis. Walaupun dibuat dengan prosedur operasi standard (SOP) tetapi saya lihat benda ini telah dilonggarkan menyebabkan risiko untuk dijangkiti masih wujud.

“Sekarang kita lihat jumlah pesakit harian masih lagi melebihi 4,000 kes. Ini membimbangkan. Walaupun golongan dewasa hampir mencecah 100 peratus kadar vaksinasi, golongan berisiko seperti kanak-kanak yang tiada perlindungan ini amat diperlukan perlindungan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Agenda Awani yang bertajuk Vaksin Kanak-Kanak: Apa Kata Doktor? yang disiarkan pada Selasa.

Pada 20 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun bermula Februari ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program tersebut adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

Menurut Dr Suhazeli, pemberian vaksin kepada kanak-kanak baru dilaksanakan adalah kerana ia bergantung kepada laporan dan juga perubahan yang berlaku dari masa ke masa.

“Kita mengikut kepada situasi keadaan semasa. Andai kata ia memerlukan, maka di sini tugas kerajaan yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk menjaga perkara ini secara keseluruhannya.

“Masyarakat di luar sana, yakinlah dengan apa yang dilakukan dengan kerajaan. Sebab kalau kita melihat dari sumber yang tidak sah, individu yang tidak bertanggungjawab, ia mendatangkan satu kekeliruan bagi masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, menurut kajian, hanya 0.0011 peratus daripada 8.7 juta vaksin yang telah diberikan kepada kanak-kanak yang menunjukkan kesan sampingan.

“Kesan sampingan hanya satu jumlah yang agak sedikit dan perkara ini lebih kurang sama dengan vaksinasi individu dewasa. Manfaat vaksin adalah lebih daripada risiko yang ada.

“Kemungkinan kesan sampingan ringan. Jadi, kesemua itu akan baik dalam tempoh segera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here