SHAH ALAM – Kes kematian harian akibat Covid-19 pada tahun ini rendah berbanding 2021 ketika rakyat masih belum menerima vaksin berkenaan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun kes harian Covid-19 mencatatkan angka melebihi 30,000 sehari berikutan gelombang Omicron yang mudah merebak, namun kes kematian yang dicatatkan masih rendah.
“Berbanding tahun lepas ketika kes melebihi 20,000 sehari, kadar kematian juga tinggi. Ketika itu masih ramai yang belum divaksin lengkap atau mendapat booster mereka.
“Kini walaupun kes tinggi kerana gelombang Omicron yang mudah dan cepat merebak, kes kematian lebih rendah, bermakna kes tidak ‘severe’. Ini sesuatu yang dialami sendiri di hospital yang sedang merawat pesakit Covid-19 seperti di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam video yang dikongsikan menerusi laman Twitter pada Ahad.
Dalam pada itu Khairy turut berkongsi penerangan daripda Pakar Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Tan Ran Zhi mengenai keadaan semasa pesakit Covid-19 di hospital berkenaan.
Menerusi video tersebut, Ran Zhi menjelaskan hospital itu mencatatkan kes kematian sehingga 30 orang sehari ketika kemuncak gelombang varian Delta pada Julai hingga Ogos tahun lalu.
“Kini Hospital Sungai Buloh hanya mencatatkan tiga hingga empat kematian sehari.
“Tahun lepas kita mempunyai lima kontena yang hampir penuh dengan jenazah dan mayat pesakit Covid-19 tetapi sekarang hanya dua kontena sahaja digunakan,” kongsinya.
Every death is serious. But now we are seeing deaths rate coming down drastically compared to Delta wave. It is less severe now but it’s not a mild flu. We must continue to focus on protecting our high risk groups. Please get boosted. pic.twitter.com/t4efGNWLzs
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) February 26, 2022