Home Koronavirus Kes Covid-19 melonjak 20,824 dalam tempoh enam hari

Kes Covid-19 melonjak 20,824 dalam tempoh enam hari

0
Kes Covid-19 melonjak 20,824 dalam tempoh enam hari
Khairy beberapa kali mengingatkan rakyat di negara ini bahawa angka kes Covid-19 dijangka meningkat untuk beberapa minggu ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20,824 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan untuk tempoh enam hari (29 Oktober-3 November 2022), meningkat hampir 60 peratus berbanding 13,050 kes untuk tempoh yang sama (22 Oktober-27 Oktober).

Angka kes harian baharu melonjak melepasi angka 4,000 semalam (3 November) kepada 4,711 kes. Kali terakhir negara mencatat kes 4,000 ialah pada 14 Ogos 2022 sebanyak 4,071 kes.

Daripada 4,711 kes semalam, 10 buah negeri mencatat kes tiga angka iaitu Selangor (1,609), WP Kuala Lumpur (1,168), Perak (391), Negeri Sembilan (299), Pulau Pinang (232), Sabah (215), Melaka (149), Kedah (135), Kelantan (128), WP Putrajaya (111).

Kes dua angka di Pahang (79), Sarawak (75), Johor (60), Terengganu (41) dan WP Labuan (14). Kes satu (1) angka di Perlis (5).

Sebelum melepasi paras 4,000 ini, angka kes mencecah 3,000 bermula 28 Oktober (3,296) dan berikutnya pada 29 Oktober (3,189), 30 Oktober (3,129) dan 2 November (3,969). Kes terendah untuk bulan yang sama, pada 17 Oktober iaitu 1,210 kes.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin beberapa kali mengingatkan rakyat di negara ini bahawa angka kes Covid-19 dijangka meningkat untuk beberapa minggu yang ada kaitannya dengan penularan subvarian Omicron XBB di Malaysia.

Menurut beliau, negara kini berada dalam fasa peralihan pandemik Covid-19 kepada endemik dan gelombang jangkitan melibatkan peningkatan kes dijangka berlaku.

Beliau menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sesak dan majlis berkaitan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Tarikh penamaan calon PRU15 dijadual Sabtu 5 November, tarikh pengundian awal 15 November dan hari mengundi, 19 November.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), KKMNOW, meningkat kepada 34,609 kes dengan 32,956 (95.2 peratus) menjalani kuarantin di rumah.

Sementara itu, sebanyak 3,120 kes sembuh pesakit Covid-19 diaporkan semalam, menjadikan kumulatif kes sembuh negara setakat semalam sebanyak 4,843,468 kes.

Dengan sebanyak 4,914,557 kumulatif kes Covid-19, Malaysia kini di tangga 27 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Greece (5,188,890) dan Ukraine (5,296,254).

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun mencatat kes harian baharu tertinggi (67,473) diikuti oleh Korea Selatan (46,870) dan Perancis (42,025).

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,097,881 kes. – Bernama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here