Home Koronavirus Kerajaan jamin penghantaran vaksin ke seluruh negara lancar

Kerajaan jamin penghantaran vaksin ke seluruh negara lancar

0
Kerajaan jamin penghantaran vaksin ke seluruh negara lancar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan memberi jaminan proses penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke seluruh negara akan berjalan lancar, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya melaksanakan latihan penghantaran vaksin ke Klinik Kesihatan Belaga, kira-kira 178 kilometer (km) dari Bintulu, Sarawak pada 29 Januari lalu.

“Saya yakin sekiranya penghantaran ke kawasan terpencil seperti Belaga dapat dilakukan, ini bermakna tempat lain tidak mempunyai masalah yang besar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ziarah Sumbangan Tablet di Kampung Cina, di sini pada Sabtu.

Katanya, lokasi penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 telah dikenal pasti dan setiap negeri juga telah disediakan peti simpanan suhu ultra rendah untuk vaksin tersebut.

“Kita sudah ada 115 peti simpanan suhu ultra rendah dan kerajaan beli lagi 55 buah dengan peruntukan sebanyak RM2.7 juta, jadi tidak ada masalah untuk simpan bekalan vaksin yang akan tiba esok,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin tersebut pada Ahad diikuti pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Februari ini.

Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here