Home Koronavirus Kelonggaran SOP: Rakyat pilih kekal pakai pelitup muka

Kelonggaran SOP: Rakyat pilih kekal pakai pelitup muka

0
Kelonggaran SOP: Rakyat pilih kekal pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR – Berkuat kuasa Ahad, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi adalah atas pilihan individu dan pemakaiannya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Selain itu, bermula Ahad juga imbasan kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai prosedur operasi standard (SOP) daftar masuk ke premis tidak lagi diwajibkan.

Tinjauan Bernama di beberapa negeri mendapati kebanyakan masyarakat masih kekal mengamalkan SOP yang dilaksanakan sebelum ini dan merasa agak kekok untuk melakukan sebaliknya meskipun ia telah dibenarkan.

Di KUALA LUMPUR, tinjauan di taman KLCC mendapati kebanyakan pengunjung ke taman riadah itu masih mengenakan pelitup muka dan ini diakui seorang pengunjung, Edison Yap, 34, yang menyifatkan tindakan tidak memakai pelitup muka di tempat ramai dan terbuka sebagai janggal.

Beliau yang meluangkan masa di hujung minggu dan cuti umum bersempena dengan Hari Pekerja bersama isteri dan anak berkata dia sekeluarga memilih untuk memakai pelitup muka memandangkan telah menjadi kebiasaan.

Keadaan sama juga didapati ketika menjengah ke Suria KLCC dengan orang ramai masih mematuhi SOP diamalkan sejak negara mula dilanda pandemik Covid-19.

Di SELANGOR, tinjauan di Pasar Tani di Seksyen 13, Shah Alam mendapati kebanyakan pengunjung yang hadir masih memakai pelitup muka di kawasan terbuka malah ada turut mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera yang diletakkan berdekatan pintu masuk.

Pengunjung, Ahmad Fakharudin Abdul Halim, 26, berkata, berikutan pemakaian pelitup muka yang sebelum ini diwajibkan menyebabkan dia terlupa bahawa ketetapan itu telah mula dilonggarkan hari ini.

“Pakai pelitup muka sekarang ini bukanlah satu bebanan sebab sudah dua tahun kita amalkan. Namun dengan adanya kelonggaran itu, sekurang-kurangnya rakyat boleh berasa lega sebab ia (memberi) gambaran keadaan negara semakin pulih,” katanya.

Keadaan sama turut disaksikan di JOHOR, dengan orang ramai masih kekal mengenakan pelitup muka dalam tinjauan di Terminal Bas Larkin Sentral.

Warga emas, Hasnah Ali, 74, dan Mohd Yusoff Abdullah, 75, yang ditemui berkata pemakaian pelitup muka adalah sangat penting berikutan faktor umur yang membolehkan mereka terdedah kepada penyakit berjangkit.

Di KELANTAN, tinjauan di bazar raya di Kota Bharu yang diadakan di kawasan terbuka mendapati rata-rata orang awam masih lagi memakai pelitup muka ketika membeli-belah.

Pengunjung, Mohd Zulhafiz Rosman, 31, berkata, walaupun kerajaan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka, namun demi pelindungan diri, dia akan terus memakainya.

Di MELAKA, tinjauan di sebuah pusat beli-belah di Ayer Keroh keadaan sama dengan kepatuhan masyarakat terhadap SOP lama dan Di PULAU PINANG, tinjauan pula mendapati selain kebanyakan masyarakat mengekalkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka, premis-premis peniagaan juga masih kekal mempamerkan kod imbas MySejahtera.

Pemilik kedai runcit Anwar Sadat, 42, berkata dia akan mengekalkan kod imbas MySejahtera buat sementara waktu sebagai langkah berhati-hati.

“Nak imbas kod MySejahtera itu adalah terpulang kepada pelanggan. Saya juga wajibkan pemakaian pelitup muka dalam kedai saya,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here