Home Koronavirus Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan turun 15 peratus

Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan turun 15 peratus

Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan turun 15 peratus

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 15 peratus pada minggu epidemologi ke-17 tahun 2022 (ME17/2022) berbanding ME16/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 20 peratus.

“Jumlah pesakit kategori satu dan dua menurun sebanyak 33 peratus manakala jumlah pesakit kategori tiga, empat dan lima tiada perbezaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, bagi penggunaan katil bukan kritikal dan unit rawatan rapi (ICU), masing-masing turut mencatatkan penurunan sebanyak 22 peratus dan lapan peratus.

“Dan penggunaan katil PKRC menurun sebanyak 75 peratus,” ujarnya.

Selain itu katanya, jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) pula menurun sebanyak 11 peratus.

Mengulas mengenai status terkini kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, dari 25 Januari 2020 (ME4/2020) hingga 30 April 2022 (ME17/2022), sebanyak 4,448,004 kumulatif kes baharu dicatatkan manakala kumulatif kes sembuh pula 4,366,951.

“Sebanyak 35,547 kumulatif kes kematian dicatatkan dan jumlah kumulatif kluster ialah 7,010 serta kluster aktif ialah 84,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bilangan kes sembuh pada ME17/2022 menurun sebanyak 21.9 peratus berbanding ME16/2022.

Dari segi bilangan kes baharu, Dr Noor Hisham berkata, pada ME17/2022 menurun sebanyak 53.1 peratus berbanding ME16/2022.

“Bilangan kes tempatan menurun sebanyak 52.8 peratus dan bilangan kes import turut menurun sebanyak 87.1 peratus,” jelasnya.

Menurutnya, bagi bilangan kes kematian dan kes aktif pada ME17/2022, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 31.7 peratus dan 35.3 peratus berbanding ME16/2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here