Home Koronavirus Kelantan perlu satu juta dos vaksin untuk capai imuniti kelompok

Kelantan perlu satu juta dos vaksin untuk capai imuniti kelompok

0
Kelantan perlu satu juta dos vaksin untuk capai imuniti kelompok

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya satu juta dos vaksin Covid-19 lagi untuk melengkapkan imuniti kelompok bagi negeri tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, jika bekalan itu mencukupi pihaknya tidak menolak kemungkinan proses itu dapat dilengkapkan menjelang Oktober depan.

“Semua ini bergantung kepada bekalan yang akan diberikan oleh kerajaan pusat. Diharap agihan tersebut dapat disegerakan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri iaitu kerajaan akan mempercepatkan bekalan kepada negeri yang masih rendah pemberian vaksin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, pada Rabu.

Menurutnya, jika bekalan yang dipohon itu tidak memenuhi keperluan, kerajaan negeri sedia mengeluarkan belanja untuk membeli bekalan bagi melengkapkan imuniti kelompok dalam masa terdekat sebagaimana sasaran.

Beliau berkata, proses pemberian vaksin di Kelantan berjalan seperti biasa mengikut bekalan dibekalkan oleh kerajaan pusat.

Mohd Amar berkata, tahap kesedaran pengambilan vaksin dalam kalangan rakyat di negeri berkenaan juga makin bertambah baik apabila mereka sedar kepentingan berbuat demikian dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan orang asli, kerajaan negeri akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kata beliau, suntikan vaksin untuk masyarakat berkenaan juga akan terus ditingkatkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here