Home Koronavirus Kedah terima 1.4 juta dos vaksin

Kedah terima 1.4 juta dos vaksin

0
Kedah terima 1.4 juta dos vaksin

ALOR SETAR – Kedah menerima 1.4 juta dos vaksin Covid-19 pada bulan ini untuk populasi penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas serta remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan kadar vaksinasi di negeri ini meningkat kepada 80 peratus sekali gus mencapai tahap imuniti kelompok yang ditetapkan kerajaan secepat mungkin.

“Kadar vaksinasi lengkap di Kedah telah melepasi 50 peratus dan untuk dos pertama adalah 62.8 peratus,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 hari ini.

Mengenai daerah Pendang dan Baling yang mencatatkan kadar vaksinasi rendah dengan masing-masing 44 peratus dan 48 peratus setakat semalam, Muhammad Sanusi berkata, pendekatan program outreach akan dilaksanakan untuk menarik lebih ramai penerima vaksin di kawasan itu.

“Apabila kita mengumumkan program ‘walk-in’ (tanpa janji temu) memang sambutan sangat menggalakkan tetapi pada peringkat awal bekalan vaksin tidak mencukupi untuk jumlah yang ‘walk-in’ ke PPV.

“Kemudian mereka datang semula untuk menerima suntikan tetapi tetap vaksin pada masa itu tak cukup, selepas pada itu baru vaksin cukup, (tetapi) mereka tidak buat perjumpaan ketiga,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, pada masa ini bekalan vaksin Covid-19 telah mencukupi di negeri ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga memberikan tumpuan kepada usaha menghadapi fasa endemik termasuk merangka perancangan pemulihan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Kedah memberitahu beliau telah mengenal pasti beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang perlu dibuat penstrukturan semula dengan kadar segera dalam usaha memastikan ia berdaya saing dan tidak hanya bergantung sepenuhnnya kepada projek diberikan kerajaan negeri. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here