Home Koronavirus Kanak-kanak divaksin, reaksi ibu bapa bercampur baur

Kanak-kanak divaksin, reaksi ibu bapa bercampur baur

0
Kanak-kanak divaksin, reaksi ibu bapa bercampur baur

SHAH ALAM – Pengumuman kerajaan bagi memulakan pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula 3 Februari ini mendapat reaksi yang berbeza daripada ibu bapa.

Walaupun terdapat segolongan ibu bapa menyatakan kesediaan penuh terhadap pelaksanaan program tersebut, namun ada juga yang mahu mengambil keputusan tunggu dan lihat.

Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Kuantan, Pahang, Mohd Farid Jamaluddin, 42, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mendaftarkan anaknya yang berusia tujuh tahun untuk mendapatkan vaksin.

Menurutnya, dua orang anaknya yang masing-masing berusia 15 dan 12 tahun juga sebelum ini telah melengkapkan vaksinasi dan tidak menghadapi sebarang masalah.

Malah katanya, langkah tersebut turut dilihat berjaya melindungi salah seorang daripada mereka daripada menerima kesan teruk Covid-19 apabila beberapa ahli keluarganya disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

“Waktu saya dan isteri saya positif Covid-19, anak saya berusia 12 tahun pun turut sama dijangkiti Covid-19. Tapi sebab dah vaksin, jadi kesannya tidak teruk.

“Bagi saya tidak ada masalah untuk beri anak mengambil vaksin,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Farid berkata, pengambilan vaksin itu juga dilihat mampu melindungi anaknya yang perlu ke sekolah daripada risiko Covid-19 memandangkan angka penularan kini kembali meningkat.

Dalam pada itu, seorang suri rumah di Seksyen 9, Shah Alam, Rozana Idris, 41, berkata, dia sejak dari awal telah bersedia dan mendaftarkan dua orang anaknya berusia enam dan lapan tahun untuk pengambilan vaksin.

Kata Rozana, keyakinan beliau untuk membenarkan anak-anaknya mengambil vaksin itu disokong daripada rujukan yang diperoleh daripada kenalannya yang bertugas sebagai doktor dan bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya banyak cari maklumat daripada sumber sahih dan dibantu kenalan saya yang bertugas sebagai pegawai perubatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang guru besar di sebuah sekolah agama di Sungai Buloh, Muhammad Firdaus Suhaimi, 33, berkata, dia percaya langkah kerajaan untuk memulakan vaksinasi terhadap kanak-kanak dibuat demi melindungi masyarakat umum.

Bagaimanapun bapa kepada tiga orang anak itu masih mempertimbangkan sama ada untuk membenarkan dua orang anaknya berusia lapan dan tujuh tahun menyertai program itu.

“Tapi jika itu menjadi prasyarat untuk murid ke sekolah, saya akan akur,” katanya.

Penjawat awam dari Sungai Buloh, Azwan Sabry, 39, pula memaklumkan masih menunggu maklumat lanjut berkenaan kesan pengambilan vaksin kepada kanak-kanak sebelum membuat keputusan mendaftarkan tiga orang anaknya berusia lima, enam dan lapan tahun.

“Kita tengok dulu kesan dia macam mana sebab program ini baru lagi,” katanya yang turut memiliki seorang anak berusia 12 tahun yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Turut senada ialah perancangan majlis perkahwinan dari, Johor Bahru, Johor, Rosmaniza A Rahman, 34, yang memaklumkan dia masih perlu mendapatkan lebih maklumat mengenai isu berkaitan keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap kanak-kanak sebelum membuat keputusan.

“Kita nak tengok macam mana maklum balas daripada program ini. Jika berkesan, mungkin kita akan benarkan (ambil vaksin),” katanya yang memiliki tiga orang anak dengan dua daripadanya adalah berusia enam dan sembilan tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here