KOTA BHARU – Keletihan bukan satu halangan atau alasan kepada 3,000 kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mengendalikan pesakit Covid-19 hampir setiap hari.
Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, komitmen penuh tetap diberikan walaupun keadaan fizikal dan mental kakitangan kini keletihan.
“Tidak kira sama ada di hospital mahupun di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), mereka tetap berjiwa kental menjalani tugas masing-masing memandangkan kita adalah pasukan di benteng akhir melawan pandemik ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Dr Selasawati sebelum itu menerima kunjungan Syarikat Serbuk Kopi Chop Bukit yang diwakili pengurusnya, Zulkarnain Hamid menyumbang lebih 500 cawan kopi untuk pasukan barisan hadapan di hospital berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr Selasawati berkata, walaupun penugasan dibuat secara penggiliran, namun tekanan tetap dirasa apabila berdepan dengan situasi getir ketika jumlah jangkitan pandemik masih lagi tinggi.
Bagaimanapun, katanya, pihak HRPZ II sentiasa membantu kakitangan yang memerlukan perkhidmatan kaunseling bagi memastikan emosi mereka tidak terganggu.
“Ada juga kakitangan kita yang dijangkiti, tidak semestinya disebabkan oleh pesakit yang dirawat, mereka juga boleh dijangkiti melalui komuniti.
“Alhamdulilah, mereka pulih dengan baik dan kembali menyambung tugas dengan penuh dedikasi,” katanya.
Mengulas mengenai pesakit Covid-19 di hospital itu, Dr Selasawati berkata, jumlah kemasukan pesakit masih lagi meningkat iaitu lebih 90 peratus, termasuklah penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU).
Sementara itu, Zulkarnain yang ditemui berkata, pemberian sumbangan kopi berkenaan adalah sebagai simbolik penghargaan pihaknya kepada pasukan barisan hadapan dalam mengendalikan pesakit-pesakit Covid-19 sepanjang tahun ini.