Home Koronavirus Kadar vaksinasi lengkap melebihi 70 peratus di Lembah Klang

Kadar vaksinasi lengkap melebihi 70 peratus di Lembah Klang

Kadar vaksinasi lengkap melebihi 70 peratus di Lembah Klang

PUTRAJAYA – Kadar vaksinasi lengkap 73.8 peratus daripada populasi dewasa di Lembah Klang menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil daripada itu situasi di jabatan kecemasan hospital kini bertambah baik.

“Contohnya, purata pesakit yang menunggu di jabatan kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.

“Apabila liputan imunisasi meningkat, kes-kes Covid-19 yang perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) mula menunjukkan trend mendatar dan diharapkan akan menurun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pertimbangan kemudahan yang dinikmati oleh individu yang telah lengkap dos suntikan vaksin dibuat mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara melebihi 50 peratus.

“Pencapaian itu adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu 31 Ogos.

“Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

“Vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here