Home Koronavirus Kacukan varian India, UK hanya dikesan di Vietnam

Kacukan varian India, UK hanya dikesan di Vietnam

Kacukan varian India, UK hanya dikesan di Vietnam

PUTRAJAYA – Kes kacukan varian India dan UK hanya dikesan di Vietnam dan tiada di negara-negara lain setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan kawalan di sempadan negara sebagai langkah persediaan untuk menghadapi jangkitan varian tersebut.

“Kita telah meningkatkan kawalan iaitu kuarantin kepada mereka yang datang atau pulang daripada negara yang ada varian virus Sars-Cov-2 kepada 14 hari dan disambung tujuh hari selepas penilaian risiko pada hari ke-14.

“Walau bagaimanapun, negara-negara yang terlibat seperti India, Nepal, Bangladesh dan Pakistan telah pun kita pertingkatkan kuarantin kepada 21 hari. Jadi, saringan akan dijalankan untuk pastikan kita dapat menghalang varian baharu daripada masuk ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 91,608 ujian saringan Covid-19 telah dilakukan, bertambah sebanyak 30.2 peratus bagi tempoh 23 Mei sehingga 29 Mei berbanding 63,925 ujian sebelum 14 Mei.

Pada Ahad, kes harian Covid-19 merekodkan penurunan dengan 6,999 kes jangkitan dilaporkan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini sebanyak 565,533.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here