JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu, 1.293 juta dos vaksin akan tiba dalam bulan ini untuk Program Imunisasi Covid-19 Nasional (PICK) di negeri ini.
Tunku Ismail berkata, daripada jumlah itu, 583,000 adalah vaksin Pfizer, 637,000 vaksin Sinovac dan 73,000 vaksin AstraZeneca.
“Dos vaksin ini tiba pada minggu pertama Julai melibatkan 51,100 dan 178,540 dos, kemudian pada 12 Julai (278,132 dos), 19 Julai (394,620 dos) dan 26 Julai (390,900 dos).
“Saya akan turut serta untuk penerimaan vaksin dan memastikan ianya diberikan kepada semua Bangsa Johor dengan efisien dan tepat pada masanya.
“Saya juga telah diberi penerangan oleh pihak berwajib mengenai jumlah pendaftaran dan cara pengedaran vaksin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini pada Sabtu.
Kenyataan tersebut turut dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, HRH Crown Prince of Johor.
Tunku Mahkota Johor berkata sudah diberi penerangan oleh pihak berwajib mengenai jumlah pendaftaran dan cara pengedaran vaksin.
Justeru Tunku Ismail yakin ramai Bangsa Johor akan diberi vaksin dalam beberapa minggu ini sekali gus mencapai tahap imunisasi kelompok.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin dan pihak berkuasa berkaitan yang telah menjayakan usaha ini.
“Bersama kita akan dapat mengatasi wabak ini. Saya juga ingin mengingatkan seluruh Bangsa Johor untuk mendaftar vaksin dan mendapatkan vaksinasi,” katanya.