Home Koronavirus Garis panduan penerima lengkap dua dos akan dibentang

Garis panduan penerima lengkap dua dos akan dibentang

0
Garis panduan penerima lengkap dua dos akan dibentang

KOTA TINGGI – Garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 akan dibentangkan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, taklimat daripada pakar kesihatan berhubung pengendalian serta faedah vaksin telah pun diberikan ketika mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKAV) pada Khamis.

“Saya dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah diberikan taklimat.

“Justeru cadangan garis panduan kepada penerima yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 akan dibentangkan dalam Sidang Khas MKN dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, pihaknya juga mempunyai maklumat awal dengan merujuk beberapa negara ‘best practise’ dalam pengurusan Covid-19 termasuk faedah vaksin seperti yang dilakukan Amerika Syarikat.

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat mereka sudah mula memberikan beberapa faedah kepada penerima vaksin, selepas negara itu merekodkan lebih 30 peratus penduduknya melengkapkan dua dos vaksin.

“Malaysia juga akan memberi sedikit kelonggaran kepada penerima vaksin sudah lengkap dua dos. Bagaimanapun pandangan daripada pakar kesihatan awam akan dirujuk sebelum cadangan dibentangkan pada Sidang Khas MKN nanti,” katanya.

Pada 3 Julai lalu, Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) sedang menyediakan garis panduan itu, yang akan dibentangkan di peringkat jawatankuasa berkenaan sebelum dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan dijangka mengeluarkan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 bulan depan bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan.

Jumlah pemberian kumulatif vaksin setakat 9 Julai#LindungDiriLindungSemua pic.twitter.com/RsLunEMQ5m

— Vaksin COVID-19 (@JKJAVMY) July 10, 2021

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here