Home Koronavirus JKNK terima laporan 34 penghuni madrasah enggan jalani ujian saringan

JKNK terima laporan 34 penghuni madrasah enggan jalani ujian saringan

0
JKNK terima laporan 34 penghuni madrasah enggan jalani ujian saringan

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung 34 penghuni di sebuah madrasah di Kampung Sungai Kenerong, Dabong, dekat Kuala Krai, yang enggan menjalani ujian saringan Covid-19, baru-baru ini.

Bagaimanapun Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, perkara itu berjaya diselesaikan dengan bantuan pihak polis melalui perbincangan dengan ketua madrasah dan kesemua penghuni telah bersetuju untuk menjalani ujian saringan itu.

“Mereka enggan menjalani saringan kerana merasakan tiada kaitan atau kontak rapat dengan kes Covid-19, yang meninggal dunia di Dabong pada 27 Ogos lepas,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan seramai 34 penghuni madrasah berkenaan enggan menjalani ujian saringan malah pemiliknya tidak membenarkan proses itu berlangsung ketika pejabat kesihatan daerah ingin melakukan ujian saringan susulan terdapat kematian akibat Covid-19 membabitkan seorang penghuni di situ.

Ditanya nasihat bagi mengelakkan perkara berkenaan berulang, Dr Zaini menyeru seluruh penduduk Kelantan untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa terutama petugas JKNK dalam membendung penularan wabak itu.

“Majoriti kes Covid-19 adalah tidak bergejala serta boleh menjangkiti orang lain, maka ujian makmal yang dibuat boleh menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti atau tidak dan ini (ujian saringan) amat penting untuk memastikan status seseorang (positif atau negatif).

“Penyiasatan yang cepat dan tepat daripada pihak JKNK memerlukan kerjasama orang ramai untuk mengekang penularan wabak ini,” katanya sambil menambah pematuhan SOP dalam kalangan penduduk juga amat penting bagi memutuskan rantaian Covid-19. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here