SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempersembahkan senarai nama individu yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Jumaat ini.
Semua senarai nama terlibat adalah membabitkan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pentadbir masjid dan penolong pendaftar nikah di negeri ini.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, menerusi program vaksinasi khas yang dianjurkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di sini pada Rabu, seramai 872 individu terlibat telah dipanggil bagi mendapatkan suntikan vaksin tersebut.
“Sehingga jam 11 pagi tadi, dapat dilihat jumlah kehadiran adalah seramai 146 orang dan 80 peratus daripadanya menolak untuk mengambil vaksin.
“Kita masih menunggu lagi semua individu ini hadir sehingga jam 3 petang dan selepas itu, nama mereka akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor,” katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau keadaan di PPV berkenaan pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Sultan Sharafuddin pada awal September lalu bertitah bahawa pihak yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal berdepan kemungkinan untuk tidak dibenarkan meneruskan tugas selepas ini.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, beliau dan timbalannya juga akan berbincang lanjut bagi menggunakan peruntukan kuasa yang ada ke atas pihak terlibat yang enggan mengambil suntikan tersebut.
“Semua ini kita akan teliti dari segi hak, perundangan, hukum dan lain-lain.
“Pihak terbabit juga mungkin boleh dirujuk di bawah peraturan kelakuan dan tatatertib dan semua itu akan diteliti selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang guru di sebuah sekolah agama sekitar Kuala Langat yang dikenali sebagai Siti Zalika berkata, beliau menolak pengambilan vaksin disebabkan oleh masalah kesihatan dan merasa ragu dengan keberkesanan suntikan berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan individu yang mengambil vaksin mengalami alahan teruk dan disebabkan itu beliau memutuskan untuk menangguhkan dahulu pengambilan vaksin tersebut.
“Tambahan pula, saya masih menyusu dan saya fikir lebih baik jika saya tangguhkan dulu pengambilan suntikan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Nurul Aufa Maisara Zulkarnain, 18, berkata, dia merasa amat lega apabila dapat mengambil suntikan vaksin itu bagi memudahkan operasi persekolahan secara bersemuka selepas ini.
“Memang sebelum ini ada juga dengar benda tak berapa baik (pasal vaksin), namun saya percaya ia akan membantu kita semua,” katanya.