KOTA KINABALU- Hanya kira-kira 14 peratus penduduk Sabah telah mengambil vaksin dos penggalak setakat hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.
Menyifatkan peratusan itu terlalu rendah Masidi mengajak orang ramai agar segera mendapatkan dos penggalak di klinik-klinik kesihatan terdekat dan di pusat-pusat pemberian vaksin dos penggalak yang akan dibuka di seluruh negeri Sabah kelak.
“Orang ramai adalah digalakkan untuk mendapatkan dos penggalak kerana telah terbukti dapat mengurangkan gejala teruk, malah mengurangkan risiko kematian akibat jangkitan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.
Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri berkata berdasarkan data, daripada 44 individu yang meninggal dunia di luar hospital akibat Covid-19 antara 1 Januari hingga 17 Februari lepas di Sabah, 42 daripadanya belum menerima dos penggalak dan dua lagi telah menerima dos itu.
Sementara itu Masidi berkata 99.69 peratus daripada 4,755 kes harian Covid-19 hari ini adalah daripada Kategori Satu dan Dua manakala Kategori Tiga lapan kes, Kategori Empat (enam), Kategori Lima (satu).- Bernama