Home Koronavirus Covid-19 terus ‘serang’ skuad B-23 negara

Covid-19 terus ‘serang’ skuad B-23 negara

Covid-19 terus ‘serang’ skuad B-23 negara

HANYA 16 pemain skuad bawah 23 (B-23) negara dapat beraksi pada perlawanan menentang Laos di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh, malam ini selepas beberapa pemain utama didapati positif selepas melakukan ujian pantas antigen (ART) pagi tadi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan beberapa pemain lagi masih menunggu keputusan ART daripada Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

“Menerusi keputusan ART pagi tadi, skuad B-23 kebangsaan akan kehilangan khidmat beberapa pemain utama untuk perlawanan kedua menentang Laos, malam ini.

“Dengan peningkatan jumlah kes positif yang membimbangkan di dalam pasukan di Phnom Penh, Kemboja, kesihatan serta keselamatan pegawai serta pemain terus menjadi keutamaan FAM.

“Namun begitu, demi semangat kesukanan, Harimau Malaya B-23 tetap akan turun mengharungi perlawanan kedua menentang Laos, malam ini dan akan berjuang sehabis baik demi negara meskipun berdepan rintangan Covid-19,”kata kenyataan itu.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Sabtu mengesahkan tiga pemain negara dan seorang penolong jurulatih yang sedang bersaing dalam Kejohanan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja positif Covid-19.

Tiga pemain tersebut ialah Abdul Hanafie Tokyo, Zainal Abidin Jamil dan T. Saravanan selain penolong jurulatih, Khan Hung Meng.

Difahamkan, kes tersebut dikesan sewaktu ujian saringan yang dilakukan di hotel penginapan pemain pagi semalam dan kesemua mereka telah diasingkan dan akan menjalani ujian PCR.

Pada perlawanan malam ini, skuad negara wajib melakar kemenangan dengan meledak dua gol tanpa bolos bagi memastikan tiket ke peringkat seterusnya menjadi kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here