KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Sejumlah 98.18 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini telah menerima vaksinasi lengkap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, ini bermakna hanya 1.82 peratus sahaja penjawat awam yang masih belum divaksin.
“Pemberian suntikan vaksin masih berjalan dan dilakukan secara sukarela termasuk melibatkan kakitangan awam.
“Bagaimanapun, beberapa syarat dan libat urus perlu jika kerajaan mahu mewajibkan pengambilan suntikan vaksin supaya ia dapat dilakukan secara berhemah,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) yang meminta kerajaan memaklumkan status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin dan sama ada kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Latiff (Bersatu-Mersing) berkata, Malaysia masih belum menggubal undang-undang untuk mewajibkan rakyat mengambil vaksin sebagaimana yang dilakukan Singapura.
“Kita tidak boleh paksa rakyat untuk ambil vaksin walaupun di Singapura sudah ada undang-undang yang mewajibkan perkara itu.
“Bagaimanapun, pelbagai cara dibuat pihak berwajib untuk menggalakkan rakyat mengambil vaksin. Contohnya kalau tidak divaksin, tidak boleh makan di restoran,” katanya.
Katanya, dengan cara itu kerajaan berharap rakyat yang menolak vaksin akan sedar kepentingan pengambilan vaksin.