Home Koronavirus Hampir 98 peratus kes Covid-19 jalani isolasi di rumah

Hampir 98 peratus kes Covid-19 jalani isolasi di rumah

Hampir 98 peratus kes Covid-19 jalani isolasi di rumah

PUTRAJAYA- Dalam negara menghadapi fasa peralihan endemik, hampir 98 peratus kes aktif Covid-19 perlu menjalani isolasi di rumah tanpa perlu rujukan ke hospital.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada 24 Februari tahun lalu menunjukkan kejayaan apabila kebanyakan pesakit hanya mengalami gejala ringan.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memantau kes-kes isolasi di rumah melalui Pusat Penilaian Covid-19 secara maya (VCAC).

“Sewaktu jangkitan Omicron memuncak pada 8 Mac lalu, sebanyak 586,000 kes telah dipantau VCAC,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.

Menurutnya, pemantauan kuarantin di rumah adalah penting kerana terdapat pesakit yang mengalami kemerosotan gejala dan perlu dirujuk ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Walaupun peratusan yang dirujuk rendah iaitu bawah satu peratus, pemantauan VCAC memberi ketenangan kepada pesakit dan data sebenar kepada KKM,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan VCAC dibuat melalui aplikasi MySejahtera yang mana pesakit perlu mengisi health assessment tool (HAT) dua kali sehari berhubung gejala mereka.

“Lebih 70 peratus kes Covid-19 di rumah mengisi HAT setiap hari dan data ini diguna untuk mengenal pasti kes yang merosot dan perlu dirujuk ke hospital,” katanya.

Khairy berkata, dalam fasa peralihan endemik ini, kaedah VCAC melalui MySejahtera akan diteruskan.

“Ciri ini memberi ketenangan kepada pesakit yang mengisi HAT dan membolehkan pemantauan berterusan dibuat oleh KKM secara virtual tanpa berlaku kesesakan di CAC fizikal seperti dahulu,” katanya.

Ujarnya, satu juta Pakej Perlindungan Covid-19 lagi akan dihantar kepada golongan B40 bagi membantu golongan itu dapat mengisi HAT dengan baik selain melakukan penilaian kesihatan kendiri.

Setakat ini, lebih 2 juta pakej perlindungan itu telah dihantar ke kumpulan sasar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here