Home Koronavirus Covid-19: 28 kes kategori lima, 197 kes di ICU

Covid-19: 28 kes kategori lima, 197 kes di ICU

0
Covid-19: 28 kes kategori lima, 197 kes di ICU

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 11,994 kes baharu Covid-19 pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,292,585 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 11,969 kes tempatan dan 25 kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,509 kes atau 54.27 peratus daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 5,395 kes atau 44.98 peratus pesakit kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat 40 kes (0.34 peratus), kategori empat dengan 22 kes (0.18 peratus) dan bagi kategori lima adalah 28 kes (0.23 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 90 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 24 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“Sebanyak 30 kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak.

“Selain itu, 53 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas manakala 58 kes lagi mempunyai komorbid dan satu kes melibatkan ibu mengandung,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, empat kluster baharu direkodkan pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 151.

Jelas beliau, sebanyak 197 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 91 daripadanya disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 106,” katanya.

“Sebanyak 108 kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dengan 50 kes disahkan Covid-19 dan 58 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, negara merekodkan sebanyak 16,603 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,099,786 kes setakat ini.

Dalam masa sama, hanya negeri Selangor mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU dengan 53 peratus pada Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here