SHAH ALAM – Gelombang varian Omicron yang sudah bermula di Malaysia dijangka mengakibatkan peningkatan kes penularan wabak Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, situasi itu bagaimanapun masih boleh dikawal susulan kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini.
“Gelombang Omicron bermula di Malaysia, kes akan meningkat namun insya-ALLAH terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi.
“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga, kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.
Gelombang Omicron bermula di Malaysia. Kes akan namun Insya’Allah terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi. Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama2 kita mengatasi gelombang ini. Mask. #TRIIS. Booster. #PICKids. https://t.co/KYLzwPon1w
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) January 26, 2022
Beliau berkata demikian sebagai membalas ciapan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan terus mencatatkan peningkatan apabila 4,744 kes baharu dilaporkan pada Rabu.
Dr Noor Hisham berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini adalah 2,844,969 kes dengan 30 kes dikategorikan sebagai tiga dan lima manakala 4,714 lagi terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Pada 3 Disember lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan kes pertama positif varian Omicron di negara ini melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021.