KUANTAN – Edaran mengenai makluman berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Guru di sini yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp bermula 12.01 pagi Jumaat adalah tidak tepat.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairashah Syahli Shah Zakaria menjelaskan, penularan makluman itu mengelirukan masyarakat setempat.
“Tarikh dinyatakan pelaksanaan PKPD di Taman Guru hari ini (Jumaat) adalah tidak tepat.
“Kita harap masyarakat dapat memastikan fakta sahih sebelum tular agar tidak menimbulkan panik dalam kalangan orang awam,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Pada malam Khamis, tular isu PKPD di Taman Guru bakal dilaksanakan berikutan kenaikan kes Covid-19 mendadak dari Kluster Gambang sejak Rabu lalu.
Beliau berkata, kandungan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang dinyatakan itu tidak tepat serta versi itu belum dikemas kini.
Justeru, katanya, cadangan untuk PKPD di Taman Guru itu akan dimaklumkan secara rasmi oleh Kementerian Pertahanan.
Sehingga ini, 29 kes positif Covid-19 di Taman Guru dan 116 kes melibatkan kontak rapat satu.
Peningkatan Kluster Gambang ini antara faktor PKPD mungkin diumumkan di kawasan Taman Guru.