Home Koronavirus ‘Dua juta tunggu saat akhir’

‘Dua juta tunggu saat akhir’

0
‘Dua juta tunggu saat akhir’

SHAH ALAM – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menjangkakan lebih dua juta penerima vaksin Sinovac yang masih belum mendapatkan dos penggalak akan mengambilnya pada saat akhir.

Presidennya, Dr Koh Kah Chai berkata, ia kerana sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia yang terkenal dengan melakukan perkara pada saat akhir.

“Diharap kepada orang yang biasa tunggu saat akhir agar jangan berbuat demikian kali ini. Jika status vaksin terjejas, susah nak dapat semula,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, lebih dua juta penerima vaksin Sinovac bakal kehilangan status vaksinasi lengkap menjelang 1 April ini.

Beliau berkata, peringatan pengambilan dos penggalak bukan perkara baru sebaliknya sudah dimaklumkan sejak 16 Disember tahun lalu.

Menurutnya, peringatan juga telah diberikan pada 7 Februari lalu dan lanjutan masa diberi 24 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Kah Cai berkata, MMA bimbang ramai yang tidak memenuhi tarikh akhir tersebut walaupun ia telah beberapa kali ditangguhkan sebelum ini.

“Bukti telah menunjukkan bahawa mereka yang divaksinasi dengan dua dos vaksin Sinovac akan memerlukan dos penggalak untuk memastikan tahap imuniti yang mencukupi.

“Ini terutama kepada mereka yang sudah berusia dan kalangan individu yang mempunyai morbiditi. Sila dapatkan penggalak anda sebelum terlambat,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menghargai langkah ProtectHealth yang menyediakan perkhidmatan vaksin di rumah kepada warga emas yang tidak dapat pergi ke pusat vaksin disediakan.

“Bagaimanapun, mungkin sudah terlambat untuk ramai yang gunakan perkhidmatan ini dalam masa yang singkat,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here